Bila tibanya bulan Ramadhan Al Mubarak sudah pasti umat Islam
akan memperingati beberapa peristiwa sirah Islam yang berlaku di dalamnya yang
merupakan peristiwa agung iaitu peristiwa turunnya kitab suci Al Quran Al Karim
dan malam Lailatul Qadar.
Al Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad S.A.W yang
menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannnya. Nuzul
bererti turun atau berpindah manakala Al Quran bermakna bacaan atau himpunan.
Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al Quran itu untuk dibaca oleh umat Islam.
Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam Al Quran itu terhimpun ayat-ayat yang
menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jenayat,
muamalat, munakahat dan sebagainya.
Peristiwa nuzul Al Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan,
di Gua Hira' tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. melalui
perantaraan malaikat Jibril. Dan ini ditegaskan melalui firman Allah yang
bermaksud :
" Ramadhan yang padanya
diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang
benar dan yang salah "
( Surah Al Baqarah : 185 )
Al Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 23 tahun.
13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Ia dinamakan mukjizat teragung
kerana kehebatannya. Antaranya ialah :
1. Allah berfirman yang bermaksud :
" Katakanlah wahai
Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan
hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al Quran ini, mereka tidak
akan mendapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka
membantu sesama sendiri."
( Surah Al Isra' : 88 )
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat Al
Quran sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3. Al Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup
umat Islam di dunia dan di akhirat
4. Tidak sesiapa pun samaada di kalangan manusia
atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai Al Quran. Firman Allah yang
bermaksud :
" Dan jika kamu merasa
ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah
yang seumpamanya, ajaklah penolong-penolong kamu, selain Allah, sekiranya kamu
orang yang benar."
( Surah Al Baqarah : 23 )
5. Al Quran merupakan mukjizat tertinggi dan
teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W.
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai
rahsia Al Quran secara menyeluruh sehingga ke hari ini. Ini bererti kehebatan,
kesaktian, keagungan dan keunggulan Al Quran secara tersendiri dengan
pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
7. Al Quran merupakan petunjuk jalan kebenaran.
Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang. Allah berfirman yang
bermaksud :
" Inilah Kitab yang tiada
keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa. "
( Surah Al Baqarah : 22 )
8. Membaca Al Quran mendapat ganjaran pahala dan
syafaat daripada Allah. Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksudnya :
" Bacalah Al Quran,
sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.
"
Sesungguhnya Al Quran mempunyai 3 hak yang wajib ke atas umat
Islam untuk menunaikannya :
1. Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya
2. Hak untuk bertakbir atau memahaminya dan
menjiwainya
3. Hak untuk beramal dengan seluruh isi
kandungannya
Beberapa peringatan untuk kita bersama :
1. Al Quran diturunkan adalah untuk dibaca dan
diamalkan bukan setakat dijadikan perhiasan
2. Al Quran tidak akan menjadi syifa' ( ubat ) bagi
orang-orang yang ingkar dan zalim
3. Al Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang
bertaqwa.
4. Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah
Al Quran dengan izin Allah
5. Pesan Nabi Muhammad S.A.W :
" Aku tinggalkan 2 perkara yang jika kamu berpegang kepada
keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan
sunnahku. "