Friday, 24 June 2016

Majlis Iftar Jamaie' SMART FURQAN bersama Anak-Anak Yatim

Majlis Iftar Jamaie' telah diadakan di Dewan Kondo De Rozelle yang telah dirasmikan oleh Dato' Sri Haji Satar Khan, penasihat SMART FURQAN. Majlis yang telah diadakan itu berlangsung dengan suasana yang sungguh meriah dan penuh kesyukuran.Sebanyak hampir 28 buah meja terjual berkat sokongan para ibubapa dan waris pelajar. Bagi menambahkan lagi keberkatan, SMART FURQAN telah menjemput anak-anak yatim dari Shah Alam dan Kuang untuk sama-sama meraikannya.



Persembahan Qasidah daripada Para Pelajar SMART FURQAN


Tuesday, 21 June 2016

PELAJAR SMART FURQAN MASUK RTM TV1



Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, di hari yang penuh bersejarah iaitu 17 Ramadhan 1437H bersamaan 22 Jun 2016, salah seorang pelajar SMA Integrasi Tahfiz Darul Furqan Ulumuddin (SMART FURQAN) iaitu Saudara Muhammad Ali Imran Bin Darul Azahar, pelajar tingkatan tiga di sekolah ini telah dijemput untuk mengalunkan bacaan Al-Quran oleh Pihak RTM TV1 bersempena dengan Hari Nuzul Quran pada tahun ini.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pihak RTM kerana sudi menjemput pelajar sekolah kami.

Barakallahufeekum wa Jazakumullahu khairan katheeran.






PROGRAM RESET MINDA & HATI OLEH : NOR FIRDAUS NOR ZAINI


Assalamualaikum wbt,

Hari ini dengan jayanya telah berlangsung Program Reset Minda & Hati yang disampaikan oleh En. Nor Firdaus Norzaini (Pengasas & Perunding Utama NFCR).

Para pelajar SMA INTEGRASI TAHFIZ DARUL FURQAN ULUMUDDIN (SMART FURQAN) pada hari ini telah diisi dengan program yang amat menyeronokkan. Pelbagai input menarik telah disampaikan dan berjaya menarik minat para pelajar untuk belajar.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Nor Firdaus Norzaini (Pengasas & Perunding Utama NFCR) atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman dalam membentuk anak-anak yang cemerlang di masa hadapan kelak.

 

Friday, 10 June 2016

MEMOHON SUMBANGAN DANA UNTUK PENGURUSAN & PEMBANGUNAN



Assalamualaikum w.b.t,


 YBhg Tan Sri/Puan Sri/Dato’/Datin/Dr/Tuan/Puan/Cik, Sekolah Menengah Agama (Tahfiz) SMART FURQAN hanya ingin menekankan hafzan Al Quran sekaligus pencapaian akademik untuk para pelajar kita. 

Seringkali kita dengari sekolah pondok hanya dibina di kawasan luar bandar, sedangkan di kawasan bandar terdapat lebih banyak gejala sosial yang berlaku. Ditambah pula dengan kekurangan Imam, Muazin, Naqib, hafiz di surau-surau berdekatan kita. Ini adalah merupakan perkara fardhu yang wajib ditekankan.


Permohonan sumbangan ini adalah untuk DANA PEMBANGUNAN KEKAL sahaja seperti kami memerlukan bas sekolah, perpustakaan mini, bilik multimedia pelajar, rehal pelajar dan al quran serta peralatan seperti carpet, penghawa dingin untuk kegunaan pelajar

Ini adalah INFAQ KEKAL yang Insyaa ALLAH dilipatgandakan pahala oleh ALLAH kepada tuan/puan.


Sumbangan YBhg Tan Sri/Puan Sri/Dato’/Datin/Dr/Tuan/Puan/Cik boleh dibuat ke akuan bank yang HANYA DIASINGKAN UTK INFAQ KEKAL seperti berikut:




Atau untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Pengerusi       016-604 5294


Website          : www.smartfurqan.blogspot.my
Email              : smartfurqankd@gmail.com
Facebook       : https://www.facebook.com/smat.dafu







Thursday, 9 June 2016

TAZKIRAH : KEHEBATAN AL-QURAN


Bila tibanya bulan Ramadhan Al Mubarak sudah pasti umat Islam akan memperingati beberapa peristiwa sirah Islam yang berlaku di dalamnya yang merupakan peristiwa agung iaitu peristiwa turunnya kitab suci Al Quran Al Karim dan malam Lailatul Qadar.
Al Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannnya. Nuzul bererti turun atau berpindah manakala Al Quran bermakna bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al Quran itu untuk dibaca oleh umat Islam. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam Al Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jenayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Peristiwa nuzul Al Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, di Gua Hira' tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan malaikat Jibril. Dan ini ditegaskan melalui firman Allah yang bermaksud :
" Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah "
( Surah Al Baqarah : 185 )

Al Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 23 tahun. 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Ia dinamakan mukjizat teragung kerana kehebatannya. Antaranya ialah :
1.    Allah berfirman yang bermaksud :
" Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al Quran ini, mereka tidak akan mendapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka membantu sesama sendiri."
( Surah Al Isra' : 88 )

2.    Orang yang membaca, menghafaz dan melihat Al Quran sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3.    Al Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup umat Islam di dunia dan di akhirat
4.    Tidak sesiapa pun samaada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai Al Quran. Firman Allah yang bermaksud :
" Dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah penolong-penolong kamu, selain Allah, sekiranya kamu orang yang benar."
( Surah Al Baqarah : 23 )

5.    Al Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W.
6.    Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia Al Quran secara menyeluruh sehingga ke hari ini. Ini bererti kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan Al Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
7.    Al Quran merupakan petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang. Allah berfirman yang bermaksud :
" Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa. "
( Surah Al Baqarah : 22 )

8.    Membaca Al Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksudnya :
" Bacalah Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. "

Sesungguhnya Al Quran mempunyai 3 hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya :
1.    Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya
2.    Hak untuk bertakbir atau memahaminya dan menjiwainya
3.    Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya

Beberapa peringatan untuk kita bersama :
1.    Al Quran diturunkan adalah untuk dibaca dan diamalkan bukan setakat dijadikan perhiasan
2.    Al Quran tidak akan menjadi syifa' ( ubat ) bagi orang-orang yang ingkar dan zalim
3.    Al Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang bertaqwa.
4.    Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah Al Quran dengan izin Allah
5.    Pesan Nabi Muhammad S.A.W :
" Aku tinggalkan 2 perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku. "



Wednesday, 8 June 2016

KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN










KEWAJIPAN BERPUASA
Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )
"Wahai orang-orang beriman!! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan 
ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa".
Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan 
ketibaannya oleh setiap ummat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu 
banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang 
tahu dan menghayatinya.

KEUTAMAAN RAMADHAN
Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan puasa
di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya 
memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

ANTARA FADHILAT DAN KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN.
1. Pintu langit dibuka
2. Pintu-pintu syurga di buka

FADHILAT YANG LAIN
1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga
2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT
3. Orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu 
    dengan Allah pada hari kiamat kelak
4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt
5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga
6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai 
    di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

AMAL IBADAH DI BULAN RAMADHAN
Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, 
Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan 
amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:
  1. Solat sunat Tarawih
  2. Solat-solat sunat yang lain
  3. Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
  4. Memberikan hidangan berbuka puasa
  5. Banyakkan membaca tahlil
  6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
  7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
  8. Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, 
       kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.


Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa,
kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa.
Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.


Wednesday, 18 November 2015

BERITA TERKINI :PENDAFTARAN KINI DIBUKA

Assalamualaikum W.B.T.

PENDAFTARAN KEMASUKAN PELAJAR BARU BAGI SESI SETIAP TAHUN KINI DIBUKA!

Syarat kemasukkan :
  1.        Lepasan UPSR/PSRA dan setaraf
  2.        Lelaki dan perempuan
  3.        Berumur 13 ke atas
  4.     Boleh membaca al-quran dengan baik
  5.     Mempunyai asas fardhu ain
  6.      Lulus ujian temuduga

PENGAMBILAN PELAJAR ADALAH TERHAD!

ASRAMA LELAKI & PEREMPUAN DISEDIAKAN.


SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI : 
013 622 6697

Kindly please fill up this form:

Form<---Click here!!

Waktu Pejabat:

Isnin hingga Jumaat : 9 pagi hingga 5 petang

Sunday, 12 April 2015

SEMINAR SMART SOLAT



Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, pada 11 April 2015 bersamaan dengan 21 Jamadil Akhir 1436 Hijrah iaitu pada hari Sabtu yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan program Seminar Smart Solat.

Seminar ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Tuan Haji Mohd Rafidi Bin Haji Ibrahim. Beliau merupakan Ketua Cawangan Pentadbiran Bahagian Pentadbiran dan Perolehan Jabatan Kewangan Tabung Haji. Selain itu, beliau juga merupakan bekas Timbalan Pengarah Negeri Tabung Haji Selangor.

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan secara terperinci berkaitan solat yang sempurna dan sebagai satu cara untuk menarik minat pelajar dalam mengerjakan solat-solat sunat. Dalam program ini, para pelajar telah didedahkan dengan praktikal solat secara amali. 

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada  Al-Fadhil Tuan Haji Mohd Rafidi Bin Haji Ibrahim kerana sudi berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar SMAT DAFU. Di harap program seperti ini akan diadakan lagi di masa datang.




















Sunday, 29 March 2015

BERITA KO-KURIKULUM : SMATDAFU 'The Bees' FC WIN 4-1 !!!


Assalamualaikum w.b.t.

Pihak sekolah mengucapkan TAHNIAH kepada pasukan bola sepak SMATDAFU 'The Bees' FC atas kemenangan 4-1 menewaskan pasukan DE'ROZELLE.

Untuk pengetahuan semua, perlawanan persahabatan ini merupakan perlawanan pertama yang disertai oleh pasukan SMATDAFU 'The Bees' FC. Perlawanan ini diadakan di Padang Awam Seksyen 7 Kota Damansara pada 28 Mac 2015 jam 9.00 pagi.

Semoga kejayaan ini dapat dikekalkan di dalam perlawanan yang akan datang. TAHNIAH SMATDAFU 'The Bees' FC !!!




SUBHANALLAH....Kalimah "ALLAH".
 Perlawanan yang dirahmati.

Monday, 2 March 2015

UJIAN BULAN MAC 2015 BERMULA!!

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. yang memberi peluang kepada kita semua untuk meneruskan perjuangan bagi menegakkan agama yang mulia ini. Ujian demi ujian perlu ditempuhi bagi setiap insan yang ingin bergelar mukmin yang sejati.

Bagi pelajar-pelajar SMAT DAFU sesi 2015, mereka hari ini di uji dengan soalan-soalan yang akan menentukan tahap pencapaian ilmu mereka selama mereka belajar disini .

Ujian bulan Mac ini bermula 2 Mac sehingga 9 Mac 2015.

Semoga semua pelajar dapat menjawab soalan-soalan dengan baik. Bittaufiq wannajah!



Monday, 16 February 2015

PENGAJIAN KITAB TAUHID BERSAMA DR. SOBRI ELLIAS (PHD USULUDDIN UNIVERSITI MALAYA)





Saturday, 17 January 2015

BERMULA SESI PERSEKOLAHAN 2015


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah..segala puji bagi Allah S.W.T. yang telah mempermudahkan segala proses pengambilan pelajar SMAT DAFU bagi sesi 2015. Jumlah pelajar SMAT DAFU tahun ini ialah 63 orang.

Semoga semua pelajar ini menjadi hafiz/hafizah yang berakhlak mulia dan beramal dengan ilmu yang dipelajari.


Wednesday, 19 November 2014

MAKLUMAN : MAJLIS TAKLIMAT IBUBAPA & HARI TEMUDUGA PELAJAR SESI 2015

Tuesday, 28 October 2014

BERITA TERKINI : PENDAFTARAN MASIH DIBUKA!!



Assalamualaikum W.B.T.

PENDAFTARAN KEMASUKAN PELAJAR BARU BAGI SESI SETIAP TAHUN KINI DIBUKA!

Syarat kemasukkan :
  1.        Lepasan UPSR/PSRA dan setaraf
  2.        Lelaki dan perempuan
  3.        Berumur 13 ke atas
  4.     Boleh membaca al-quran dengan baik
  5.     Mempunyai asas fardhu ain
  6.      Lulus ujian temuduga

PENGAMBILAN PELAJAR ADALAH TERHAD!

ASRAMA LELAKI & PEREMPUAN DISEDIAKAN.


SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI : 
013 622 6697

Kindly please fill up this form:

Form<---Click here!!


Monday, 20 October 2014

SALAM MA'AL HIJRAH 1436H


Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.

KISAH HIJRAH

RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.

Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW). Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.

Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati.

Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.

Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW). Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

PERISTIWA PENTING DALAM MUHARAM

1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

2. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan 'Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Bersama kita hayati lagu ini : http://www.youtube.com/watch?v=df4YDcADQsc